Generasi kedua Felda bersyukur terima rumah


KOTA TINGGI - "Terima kasih Datuk Seri Najib, terima kasih Datuk Halimah." Itulah kata-kata yang diungkapkan oleh rata-rata generasi kedua Felda di kawasan Parlimen Tenggara yang menerima manfaat daripada projek Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M).

Bagi Jalil Mat Tahir, 53, dia amat bersyukur selepas hasratnya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan malah lebih membuatkan dia teruja ialah apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang merasmikan RMR1M di Felda Sungai Sayong, Kulaijaya dan turut berkenan melawat rumahnya baru-baru ini.


"Alhamdulillah, tiada perkataan yang mampu menggambarkan betapa gembiranya hati saya kerana impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai juga.

"Bukan sahaja dapat rumah baru, malah Tuanku turut berkenan melawat rumah saya dan dari pengamatan saya, baginda berpuas hati dengan rumah yang dibina oleh kerajaan ini," kata Jalil yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Generasi Kedua Felda Sungai Sayong.

Menceritakan semula keadaan hidupnya sebelum ini, Jalil memberitahu, dia dan isteri, Sarimah Said, 46, bersama empat anak tinggal di rumah ibunya, Saodah Salim, 76, di Felda Sayong sejak lebih 20 tahun lalu.

Di rumah itu jugalah adiknya, Fauziah, 41, dan suami serta tiga anak mereka tinggal bersama dan menjalani kehidupan seharian dengan cara sederhana.

"Bukannya tidak mahu tinggal bersama keluarga, tetapi saya juga mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri. Sebab itulah apabila ada tawaran RMR1M untuk generasi kedua, saya terus membuat permohonan. Bila lihat sendiri rumah yang sudah siap, saya amat berpuas hati kerana ia cukup luas dan selesa untuk didiami," katanya.

Seorang suri rumah, Zaleha Roslan, 44, pula menganggap tawaran bagi membina RMR1M ibarat 'bulan jatuh ke riba' kerana itulah yang diharapkan rata-rata generasi kedua Felda sepertinya.

Dia yang membuka kedai jahit sebelum ini pernah menyewa di rumah kedai di tanah rancangan tersebut bersama suami, Salim Omar, 50, sebelum mendirikan sebuah rumah bersebelahan kediaman ibunya di Felda Sungai Sayong.

"Di rumah kecil itulah saya bersama suami membesarkan dua anak kami sejak lebih 15 tahun lalu dan nasib kami kini telah berubah dengan adanya RMR1M.

"Tiada apa yang saya hendak lagi, semuanya telah disediakan oleh kerajaan, terima kasih Barisan Nasional (BN)," katanya.


http://www.johordaily.com/2013/05/generasi-kedua-felda-bersyukur-terima.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan